KUALA LUMPUR 18 Mac - Lapan penjawat awam yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) hari ini kerana terlibat dalam aktiviti sindiket rumah urut di sekitar ibu negara merupakan pegawai dan anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut sumber, masing-masing empat pegawai dan anggota PDRM serta PBT itu ditahan dalam satu operasi khas SPRM bermula pukul 10.15 pagi sehingga 4.30 petang ini.
Ujarnya, turut ditahan dalam operasi itu seorang daripadanya merupakan ketua balai.
“Kesemua penjawat awam itu dikatakan berperanan sebagai individu yang melindungi rumah-rumah urut tersebut daripada diserbu oleh pihak berkuasa.
“Selain mereka, SPRM turut menahan lapan lagi orang awam yang berperanan sebagai runner bagi mengutip wang perlindungan dari pengusaha-pengusaha rumah urut tersebut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Laporan eksklusif Buletin Utama hari ini mendedahkan mengenai SPRM mengempur pelindung pusat urut haram di sekitar ibu negara.
Dalam laporan terbabit mendedahkan satu operasi khas dinamakan Op Jejak dan Kotaraya telah dilakukan di 16 lokasi berasingan hari ini sebelum menahan 16 suspek.
-UTUSAN ONLINE