Monday, August 19, 2013

RPM MENDAPAT SOKONGAN PENUH DARI BADAN UTAMA INDUSTRI MUZIK TANAHAIR

16 Ogos 2013, Kuala Lumpur – Badan-badan utama industri muzik negara, iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM), Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) telah menyatakan sokongan padu mereka kepada Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) secara rasmi sebagai tanda perpaduan demi kepentingan industri muzik dalam kenyataan bersama hari ini. Dato’ Sheila Majid sebagai Pengerusi RPM amat berterima kasih dengan pengiktirafan dan sokongan yang diberikan oleh badan-badan utama dalam industri muzik tersebut. Beliau berkata, "Semua artis-artis di dalam industri muzik, sama ada penyanyi atau pemuzik rakaman, perlu meletakkan keutamaan pada aspek ini dalam kerjaya mereka kerana ia merupakan sumber pendapatan tambahan untuk kita. Kita perlu memastikan kita mendapat bayaran secara adil dan ini hanya boleh berlaku jika kita bersatu dan berdiri bersama sebagai satu."

"RPM hanya mewakili artis rakaman dan pemuzik rakaman ("pelaku rakaman") dan keahlian kami tidak termasuk penari, pelakon, pelawak, pelajar, dan lain-lain kerana kutipan royalti kami adalah berdasarkan audio rakaman yang dimainkan di udara dan persembahan awam. Matlamat kami adalah sangat jelas dan kami akan mengutip dan mengagihkan royalti sewajarnya hanya untuk pelaku rakaman menurut Seksyen 16B di bawah Akta Hak Cipta Malaysia, 1987. Kami akui bahawa MACP dan PPM telahpun melakukan kerja yang terbaik sejak 23 tahun yang lalu untuk pencipta-pencipta lagu dan syarikat rakaman, dan kerana itulah kami ingin mengikut langkah mereka sebaik mungkin. Kami berazam untuk mengekalkan ketelusan dan keadilan di dalam pengutipan dan pengagihan royalti di kalangan pelaku rakaman yang diwakili oleh RPM ", tegas Dato’ Sheila Majid.

"RPM memberi penekanan ke atas perwakilan demokratik dan operasi secara telus kerana terdapat banyak aduan dan isu-isu yang dibangkitkan oleh pelaku rakaman berkenaan perkara ini pada masa yang lalu. Kami menggesa rakan-rakan artis dan pemuzik yang mempunyai kemusykilan tentang pengagihan royalti mereka untuk menyokong Nan Alias dalam permintaan beliau untuk mengaudit pengagihan yang dilakukan sebelum 1 Januari 2012 oleh badan pelaku yang terdahulu", kata Dato 'Sheila Majid. RPM telah memulakan kutipan dengan sokongan penuh yang diberikan oleh PPM, agen pengutipan eksklusif RPM berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012. "Kita perlu bersama-sama bergerak ke hadapan, bersatu-padu dan menyokong antara satu sama lain, dan berjuang untuk perwakilan yang sewajarnya. Dengan komitmen dan sokongan padu yang diberikan oleh RIM, MACP, PPM dan Karyawan kepada RPM, kami sebagai ahli RPM boleh  mengharapkan masa depan yang lebih cerah dan pendapatan yang lebih baik bermula dari hari ini,
InsyaAllah", kata Dato’ Sheila Majid.

"Kami percaya bahawa industri muzik pasti akan menjadi lebih baik jika semua penggiat industri ini dapat bersatu dan menyokong antara satu sama lain. Syarikat rakaman, penerbit, komposer, penulis lirik dan pelaku rakaman yang terlibat dalam pengeluaran sesuatu rakaman bunyi perlu menyokong antara satu sama lain agar industri muzik boleh terus berkembang pesat," kata Encik Norman Abdul Halim, Pengerusi RIM. RIM kini mewakili hampir 300 syarikat dan perniagaan rakaman, yang terlibat dalam pengeluaran, pengilangan dan pengedaran rakaman bunyi, muzik video dan karaoke tempatan dan antarabangsa. Beliau menambah bahawa RIM akan menyeru semua ahli-ahlinya untuk menyokong dan meminta artis rakaman di bawah naungan mereka untuk menyertai RPM.

"Sebagai badan kutipan yang mewakili komposer, penulis lirik dan penerbit sejak tahun 1989, kami amat berterima kasih di atas kepercayaan dan pengiktirafan yang diberikan oleh pelbagai pihak yang menyumbang kepada kejayaan MACP. Tanpa komposer, penulis lirik dan penerbit yang kekal bersatu di bawah MACP, kami tidak akan berada pada tahap ini. Sebagai ahli yang dipilih untuk berkhidmat di Lembaga Pengarah, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk merancang dan membuat keputusan terbaik demi kepentingan ahli-ahli kami", kata Puan Habsah Hassan, Pengerusi MACP. "Kami menyokong penuh RPM kerana kami percaya mereka bertindak wajar untuk ahli-ahli mereka secara telus dan demokratik, dan kami juga menggalakkan artis dan pemuzik rakaman untuk bersatu bagi menyokong RPM", tambah Puan Habsah Hassan.

Encik Adrian Lim, Pengerusi PPM berkata "Sebagai badan pelesenan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1988, PPM mempunyai tenaga kerja dan sumber-sumber yang luas untuk menyokong RPM dari segi perkhidmatan kolektif di seluruh negara. Dengan sokongan yang diberikan oleh PPM, RPM mampu beroperasi dengan lebih cekap dari segi kewangan, dan oleh itu, ahli-ahli RPM akan menikmati jumlah royalti yang lebih tinggi. "

Dato' Freddie Fernandez menambah "Karyawan menyeru semua pelaku rakaman yang layak untuk menyertai RPM kerana kami percaya bahawa RPM adalah masa depan untuk semua pelaku rakaman. Sebagai badan yang mewakili artis-artis di negara ini, kami akan bekerjasama dengan RPM untuk menggalakkan semua pelaku rakaman yang merupakan ahli Karyawan mendaftar dengan RPM. Marilah kita memberikan kerjasama penuh dan sokongan kepada RPM dan memastikan kejayaan pengurusannya dalam mencapai matlamat mereka."

Encik Norman Abdul Halim, Puan Habsah Hassan, Encik Adrian Lim dan Dato’ Freddie Fernandez sebagai pengerusi organisasi masing-masing dalam industri muzik sebulat suara mengesahkan sokongan mereka kepada RPM dan berganding bahu demi ketelusan yang lebih baik dan operasi yang cekap untuk semua. Dengan perakuan yang dibuat oleh RIM, MACP, PPM dan Karyawan, dan keazaman RPM untuk menjalankan matlamat kutipannya, industri muzik tanahair diharapkan dapat berkembang maju ke arah yang lebih baik melalui perpaduan, keadilan dan kemakmuran untuk ahli-ahlinya. Untuk maklumat lanjut, sila layari lawan sesawang www.rpm.my, www.rim.org.my, www.ppm.org.my, www.macp.com.my dan www.karyawan.com.my atau hubungi:

Cik Maisy Yao, Pengurus, RPM
Emel: maisy@rpm.my, Tel: 03 6207 2988

Cik Jumiza Judin, Eksekutif Kanan, Bahagian Acara & Komunikasi, RIM dan PPM
Emel: jumiza.judin@rimgroup.my, Tel: 03 6207 2976

Cik Chan Miew Lan, Pengurus Besar, MACP
Emel: mlchan@macp.com.my, Tel: 03 6207 8638

Dato’ Freddie Fernandez, Presiden, Karyawan
Emel: fredez2009@gmail.com, Tel: 012 207 1400