Music Authors' Copyright Protection (MACP) Berhad adalah sebuah badan bukan berasaskan keuntungan dan berperanan untuk mengutip royalti dari pengguna muzikal atau lagu seperti stesen-stesen radio, televisyen, tempat hiburan, siaran secara online, syarikat komunikasi, perhotelan, penerbangan, pengangkutan awam dan sebagainya, di mana hasil kutipan royalti tadi akan diberikan kepada pencipta lagu, penulis lirik dan penerbit secara bayaran tahunan.
MACP telah ditubuhkan sebagai syarikat awam berhad pada September 1989 dan sehingga kini mempunyai lebih dari 3,000 keahlian yang terdiri dari pencipta lagu, penulis lirik dan penerbit. MACP kini mengawal pemilikan dan akses kepada lebih dari 50,000 buah lagu dan karya muzik tempatan. Dengan adanya perjanjian dengan persatuan-persatuan yang mengawal hakcipta lagu-lagu luar negara, MACP mengawal lebih dari 12 juta buah lagu dan karya muzikal meliputi 2 juta pencipta lagu, lirik dan penerbit antarabangsa. Dalam konteks Malaysia, MACP berhak mengeluarkan lesen pukal untuk penyiaran karya-karya tersebut kepada mana-mana pihak yang berkepentingan untuk menyiarkan karya-karya yang tersebut di dalam katalog senarai MACP.
MACP mengutip wang bayaran dari lesen yang dikeluarkan kepada pihak-pihak yang menyiarkan karya-karya terbabit dan mengagihkan kepada pencipta lagu, penulis lirik dan penerbit karya-karya berkenaan. Pengerusi MACP ialah Puan Habsah Binti Hassan manakala timbalannya ialah En. Ahmad Izham Bin Omar. Ahli lembaga pengarah MACP pula terdiri dari Y. Bhg. Dato' Mohd Nasir Bin Mohamed, En. Abdullah Bin Mamat, En. Ahmad Shahadrian bin A Samad dan En. Johan bin Mohamed Nawawi. Pengarah MACP mewakili penerbit pula ialah Ms. Carol Chan Choy Fong dari Warner Chappel Music (Malaysia) Sdn Bhd sebagai timbalan pengerusi, Mr. Jack Teo Chen Shin dari Universal Music Publishing Sdn Bhd, Ms Janice Foong Wai Heng dari Sony Music Publishing Sdn Bhd, Mr. Eric Yeo Lik Koon dari Indie Works Sdn Bhd, Mr. Ang Swee Giap dari Like Music dan Ms. Gim Siew Urban Poh (Jackie) dari NSR Music Publishing Sdn Bhd.
Hakcipta dalam yang berhubung dengan karya lagu/muzik didefinasikan sebagai hak eksklusif di mana pemilik karya berhak terhadap penggunaan karya di sisi undang-undang yang menegah mana-mana pihak menggunakan karya tersebut tanpa keizinan pemilik karya. Akta Hakcipta 1987 mendefinasikan bahawa, hakcipta di dalam konteks karya muzikal dan menjadikan haknya eksklusif terhadap;
1) Pengeluaran semula karya dalam apa jua bentuk.
2) Komunikasi dengan pihak awam dengan menggunakan karya tersebut.
3) Menampilkan, mempersembahkan atau memainkan karya tersebut kepada pihak awam.
4) Pengagihan salinan karya kepada umum melalui jualan, pemindahan atau pemilikan.
5) Menyewakan karya kepada pihak awam untuk tujuan komersial.
Pelanggaran ini membenarkan pencipta lagu atau penulis lirik atau penerbit untuk menegah penggunaan hakcipta eksklusif tanpa kebenaran mereka. Kebenaran biasanya akan diberi dengan membayar yuran yang dikenali sebagai royalti.
Secara praktik di Malaysia, royalti dibayar secara tahunan kepada pemilik hakcipta sepanjang hidupnya dan dibayar kepada pewaris yang dinamakan sepanjang 50 tahun selepas pemilik hakcipta meninggal dunia. Pelanggaran hakcipta dikatakan berlaku apabila seseorang atau mana-mana pihak menggunakan suatu karya hakcipta seseorang tanpa kebenaran pemilik hakcipta tersebut dan tertakluk kepada Akta Hakcipta 1987 seperti yang dijelaskan di atas. Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui Bahagian Hakcipta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang merangka polisi hakcipta bagi pihak Kerajaan Malaysia.